Pages

Tuesday, June 15

Bola…bola…bola…




“Aduhai…nampaknya sebulan ni dok dalam bilik je la tiap2 malam…mana taknya dua penyokong kuat FIFA WORLD CUP sudah pulang ke rumah…”

“Apelah yang diorang dok asyik kejar sangat bola tu,beli je la bola lain kat kedai..lagi banyak, tak yah susahkan diri nak kejar dan berebut bola yang satu tu…”

“Isy..membazir masa lah..dok berjam-jam tengok pemain-pemain tu berlari ke sana ke mari..”

“Tak fahamlah..ape yang seronok sangat tengok orang kejar bola ni???...”


Di atas merupakan antara rungutan diri ini tatkala musim bola dah tiba…

Bukanlah ana katakan begitu kerana ‘biased’..ana juga peminat bola..ana tonton juga..tapi ana tonton keputusannya sahaja selepas habis perlawanan..tak de lah ana duduk menghadap TV tonton perlawanannya…bolehlah dikira peminat juga kan???(^_^)

Mengambil pelajaran daripada permainan bola ini..
Ana dapat melihat pemain-pemainnya begitu FOKUS terhadap GOAL mereka. Mereka
merancang strategi untuk MENANG!!!

PADANG BOLA diibaratkan sebagai PENTAS KEHIDUPAN

TRAINING@PRACTISE diibaratkan sebagai TARBIYYAH CABARAN/UJIAN

PEMAIN BOLA diibaratkan sebagai MUSLIM

BOLA diibaratkan sebagai AD-DEEN

PEMAIN LAWAN diibaratkan sebagai MUSUH ALLAH (SYAITAN) @ NAFSU

GAWANG GOL diibaratkan sebagai MARDHATILLAH

PIALA DUNIA @ ‘WORLD CUP’ diibaratkan sebagai SYURGA

 Dipendekkan cerita….
Permainan bermula apabila wisel ditiupkan.Di atas PADANG BOLA, kelihatan seorang PEMAIN BOLA menggelecek BOLA yang satu itu dengan penuh style dan versatile , penuh strategi berjaya melepasi halangan PEMAIN LAWAN hasil TRAINING@PRACTISE yang dijalani sebelum ini. Akhirnya kedengaran sorakan dan jeritan “GOL!!!!!”, apabila PEMAIN BOLA tersebut berjaya menjaringkan sebuah jaringan ke dalam GAWANG GOL. Di akhir perlawanan, PEMAIN BOLA berjaya menjulang PIALA DUNIA yang diidamkannya.

(Diadaptasi daripada kisah seorang PEMAIN BOLA yang unggul)

Mengikut pandangan ana, Allah telah menekankan dalam KitabNya yang mulia bahawa kehidupan kita di dunia ini bukan main-main..kita perlu FOKUS pada MATLAMAT (MARDHATILLAH) yang ingin kita capai sebagai MUSLIM..kita perlukan TARBIYYAH UJIAN DAN CABARAN untuk menguatkan ketahanan iman dan takwa untuk terus bertahan membawa dan menegakkan AD-DEEN…satu-satunya agama Allah yang haq di atas muka bumi ini…juga untuk menghadapi MUSUH ALLAH sepanjang kehidupan ini..insyaAllah di penghujungnya…kita akan di anugerahkan SYURGA apabila kita termasuk dalam golongan yang BERJAYA…golongan yang selalu Allah sebut-sebutkan dalam Al-Quran al-Karim…

InsyaAllah…(^_^)

p/s : Kepada sahabat-sahabat yang hendak menunaikan umrah musim cuti ni, ana ucapkan selamat menunaikan umrah! Mohon sampaikan salam rindu ana buat kekasih Allah yang ana rindui selalu...(^_^)

Thursday, June 3

Alfatehah...

Usai solat maghrib sebentar tadi,aku menerima panggilan daripada sahabatku.

"Assalamualaikum awak...saya ada berita untuk disampaikan.Adik saya call td.Dia menangis-nangis.Dia bagitahu Jannah Sani baru meninggal dunia."

Sekilas ku membayangkan wajah seorang akhawat junior di KMB dengan bibirnya yang tak lekang dengan senyuman dan salam tatkala bertembung denganku, kini telah dijemput Ilahi.

"Innalillah wa inna ilaihi rajiun..."
hanya kalimah itu yang mampu diungkapkan dengan keadaan diri yang masih lagi terkejut mendapat berita tersebut.
Allah begitu mengasihi dirinya.
Moga rohnya aman di alam sana dan dicucuri rahmatNya.
Sesungguhnya hanya kerana Allah ia berlaku dan kepada Allah dia kembali.

Al-Fatehah...

Untuk sahabat yang masih diberikan nafas oleh Allah serta yang masih diberikan kesempatan untuk bertaubat dan melakukan kebaikan...cukuplah kematian sebagai peringatan!

Kerana ajal itu tidak mengenal usia tua atau muda..
Ia tetap akan berlaku seperti yang telah dicatat di Luh Mahfuz...
masanya hanya kita tak ketahui...maka bersedialah wahai diri!
Hidup ini hanya pinjaman...


Sentiasa dalam doa dan ingatan..ukht Nur Jannah Ahmad Sani

Tuesday, June 1

MODE : RECHARGING…

Alhamdulillah..segala pujian hanya untuk Allah,Rabb bagi seluruh alam. Segala kesyukuran aku panjatkan hanya untukMu ya Allah yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang.
Alhamdulillah…
Alhamdulillah…
Alhamdulillah…
Semalam aku telah keluar bersama sahabat yang telah di utusNya untuk me’recharge’ kembali iman dalam diri. Ketentuan Allah telah membawa kami ke Masjid Selat Melaka untuk bersama-sama menikmati panorama indah matahari terbenam ciptaanNya sambil bertadabbur serta bermuhasabah kembali. Dengan kehendakNya juga ayat yang menjadi pilihan kami pada petang itu ialah ayat 52-70, al-Hijr. Kami berdua tertarik dengan ayat 56 yang bermaksud :

“ Dia berkata : Tidak ada yang berputus asa dari rahmat Tuhannya kecuali orang yang sesat.”

Selepas menunaikan solat Maghrib dan solat sunat hajat untuk sahabat-sahabat di Gaza, kami memilih untuk duduk sebentar mendengarkan pengisian yang diadakan di masjid tersebut berkaitan tafsir a’li-Imran ayat 8-13. Hal berkaitan hidayah dan putus asa turut menjadi topik yang dibincangkan pada malam itu. Penyusunan Allah begitu rapi untuk tarbiyahku bersama sahabat yang kucintai pada hari semalam. Perancangan Allah untuk mentazkirkan kami kembali akan nikmat berukhuwah dan berada dalam halaqah cinta Ilahi.

Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui betapa gersangnya hati kami tatkala ini. Tiada lagi usrah di hujung minggu. Tiada lagi kedengaran suara naqibah menyampaikan ilmu. Tiada lagi hingar-bingar sahabat yang berlumba-lumba untuk menyatakan pendapat. Tiada lagi persoalan daripada adik-adik usrah dan teman-teman dengan muka ‘innocent’ mereka. Tiada lagi gelak tawa dan tangisan yang dapat kami kongsi. Tiada lagi semua itu untuk beberapa waktu ini.

Teman, aku ingin…
Teman tersayang,
Aku ingin kita seperti Abu Bakar as-Siddiq,
Persahabatan dijalin kerana al-Khaliq,
Harta dikorban bukan sedikit,
Cintakan kebenaran, sanggup bersakit.

Serta tawakal Ibrahim mulia,
Ketika meninggalkan insan tercinta,
Di bumi tandus tanpa bicara,
Meyakini Allah sebagai Penjaga.

Aku impikan antara kita seorang Umar,
Berdiri tatkala tunduknya manusia,
Bersuara tatkala diamnya mereka,
Menggerunkan musuh durjana.

Serta senyuman Syed al-Qutb,
Ketika berhadapan dengan tali maut,
Akidah mantap tidak terenggut,
Roh dakwahnya tidak surut.

Aku ingin kita seteguh Ibnu Zubbair,
Menahan panahan Hajjaj dengan rela,
Bersama si ibu tua,
Lantas syahid, rohnya ke syurga.

Marilah kita menyemai benih Hassan al-Banna,
Fikrahnya jernih, menggegar dunia,
Merelakan tubuhnya dimamah peluru,
Demi menegakkan kalam Allah dan Rasul.

Aku cintakan pemuda Ghiffari,
Menentang kezaliman walaupun diancam,
Mogakan lahir lagi di abad ini,
Jiwa jitu pemuda yang tak pernah suram.

Aku ingin kita sepemaaf Yusuf,
Tetap mencinta saudaranya,
Walaupun dihumban ke perigi tua,
Terpisah dari ayahanda bertahun lamanya.

Aku ingin pusara kita harum mewangi,
Bagai harumya pusara Masyitah,
Semerbak kasturi.

Aku ingin persahabatan indah ini,
Bisa menjadi syafaat,
Di Mahkamah Mahsyar nanti.


Puisi ini dipetik daripada novel Tautan Hati karangan novelis muslimat yang mempunyai fikrah hebat, Fatimah Syarha Mohd. Noordin. Pada awalnya agak liat juga untuk aku menghabiskan pembacaan novel ini kerana minatku terhadap novel sudah luntur, namun memikirkan keikhlasan hati pemilik novel ini yang tulus meminjamkannya kepadaku, akhirnya berjaya juga aku menghabiskan pembacaan novel itu. Alhamdulillah. Banyak perkara yang aku pelajari daripada novel ini. Antaranya bait-bait puisi di atas yang mengajarku betapa mahalnya sebuah ikatan ukhuwah fillah.

Sahabat…mahu saja aku laungkan : “ AKU RINDUKAN KALIAN!!!”. Namun jeritan itu hanya mampu terlahir dalam batinku sahaja. Tidak mampu aku zahirkan kerana kutahu bahawa inilah masanya untuk kita diuji. Dan aku bersyukur kerana Allah telah menempatkan seorang sahabat yang sangat setia untukku di bumi Melaka ini walaupun hakikatnya kami minoriti sahaja untuk kabilah ini.

Sahabat…kelapangan masa cuti ini mungkin telah menghanyutkan segelintir daripada kita. Jangan biarkan dirimu terus hanyut sahabatku. Jangan biarkan nafsu dan syaitan bermaharajalela dalam diri kita sekaligus menjunamkan graf keimananmu. Sudah tentu kita tidak mahu memberikan kemenangan kepada musuh Allah itu, bukan? Atau kita lebih memilih keriangan tawa syaitan durjana itu tatkala hasutan mereka berjaya memperdayakan kita? Maka sahabatku, marilah kita berusaha perbuat sesuatu agar hidayah Allah itu akan terus kekal bersama kita. Pilihan di tangan kita untuk memilih sama ada hendak menjadi muharrik, mutaharrik, syibhul mayyit atau mayyit.

“Ya Tuhan kami, janganlah Engkau condongkan hati kami kepada kesesatan setelah Engkau berikan petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisiMu, sesungguhnya Engkau Maha Pemberi (al-Wahhab).” -ayat 8, surah a’li-Imran-

Sahabat…maaf jika bahasaku agak kasar disini.Namun hasrat hatiku ingin sekali mengingatkan diriku serta kalian, “Jangan perasan diri baik!”.Siapa kita untuk menghitung kebaikan yang telah kita lakukan? Confirm sangat ke segala amal kebaikan kita tu diterima Allah? Sure ke taubat yang kita lakukan tu adalah sebenar-benar taubat yang Allah inginkan? Jangan bajet baik la selagi mana kita tak dipertontonkan lagi dengan tayangan hidup kita sejak dilahirkan sehingga saat kematian dan selagi mana kita tak diberikan lagi buku catatan amalan kita. Oleh itu sahabatku, sekali lagi aku mengingatkan kepada diri-diri yang sering lupa…terutama diri ini sendiri...

TIPS ‘INGAT DUA,LUPA DUA’…

INGAT DUA:
1. INGAT KEBAIKAN YANG ORANG LAIN BUAT PADA KITA.
2. INGAT KEJAHATAN YANG KITA BUAT PADA ORANG LAIN.

LUPA DUA :
1. LUPA KEBAIKAN YANG KITA BUAT PADA ORANG LAIN.
2. LUPA KEJAHATAN YANG ORANG LAIN BUAT PADA KITA.

InsyaAllah mudah-mudahan tips ini akan mengingatkan diri kita untuk membuat lebih banyak kebaikan dan mengurangkan kejahatan serta membina diri kita untuk menjadi seorang pemaaf.
Sayang semua….(^_^)


Pemandangan malam di hadapan taman Masjid Selat Melaka...